Monday, August 18, 2008

Lauterbrunnan, Switzerland






Destinasi seterusnya memang di tunggu-tunggu. Aku memang sudah lama impikan untuk ke destinasi ini. "Bermain ski di Switzerland!!" ..memang selalu jadi impian. Tidak pernah terfikir akan terlaksana juga akhirnya. Perjalanan kami dari Zurich ke Wangen agak jauh juga, memakan masa lebih kurang 3 jam. Jalan yang kami terpaksa tempuh juga agak mencabar, kerana setelah melalui highway, kami merentas jalan sepanjang banjaran Alps yang terkenal. Banyak betul terowong yang kami terpaksa lalui. Sudah pasti di kiri kanan jalan pemandangan yang sungguh cantik yang tidak boleh hendak diungkap dengan kata-kata. Itulah kebesaran Allah yang dapat ku ungkapkan. Suhu memang sejuk ketika itu mencecah -2 darjah celcius. Keputihan salji mula kelihatan di sepanjang pergunungan itu. Manakala pokok-pokok pine, tumbuh subur disepanjang jalan. Rumah-rumah di situ juga agak unik kerana di bina dengan mengunakan kayu-kayu balak dan batu-batu gunung yang cantik.
Kami berhenti untuk mengisi petrol di satu kawasan perkampungan yang agak sunyi. Apa yang menarik, semua stesyen minyak menggunakan konsep layan diri sepenuhnya. Tiada orang yang menjaganya. Kita cuma perlu menggunakan kad kredit untuk membayar di pam-pam yang tersedia. Semakin tinggi pergunungan yang di daki suhunya semakin sejuk. Kami sempat berhenti untuk bergambar di kawasan yang di sediakan.

Setelah 3 jam perjalanan, akhirnya kami sampai di Lauterbrunen. Di situ ada stesyen keretapi yang akan membawa kami ke Wengen. Kami memunggah sebahagian barang keperluan untuk dua malam dari kereta sebelum menaiki keretapi tersebut. Keperluan yang tidak boleh di tinggalkan ialah periuk nasi...haha . Mana boleh tinggal, orang Melayu mesti makan nasi.

Perjalanan untuk ke Wangen memakan masa 15 minit. Cuaca sungguh cerah hari itu, jadi kami dapat melihat dengan jelas banjaran gunung Alps. Puncak gunung yang tertinggi di Eropah iaitu gunung Jungfraujoch yang digelar "Top Of Europe" juga kami dapat tatap dengan penuh kagum. Sesampai di Wangen kami tidak susah mencari Hotel yang kami tempah kerana ianya betul-betul dekat dengan stesyen keretapi. Eager Hotel menyambut kami dengan ramah. Kami di tempatkan di bilik yang besar dan betul-betul selesa kerana setiap orang dapat katil sendiri. Apa yang menarik ialah pemandangan yang sungguh cantik dari 'balcony' hotel. Salji memang tebal kerana salji baru lepas turun. Kami dapat melihat pengunjung-pengunjung bermain ski dari tingkap bilik. Memang berbaloi kami bayar 540 swiss franc untuk dua malam.


Pada petang itu, aku dan anak-anak berkesempatan bermain salji di sekitar kawasan Hotel. kami tidak perlu berjalan jauh untuk bermain salji kerana ketebalan salji di sekitar hotel, hampir mencecah 2 kaki. Kami beramai-ramai berjaya membuat orang salji (snowman) yang agak besar juga hanya dalam beberapa minit sahaja. Pada petang itu kami hanya jalan-jalan di sekitar Wangen dan esok kami akan naik ke atas untuk bermain ski.

Malam itu anak-anak tidur lena. Masing-masing tidur awal kerana tiak sabar-sabar untuk bermain ski keesokkan harinya. Bangun sekitar pukul 5.oo pagi untuk solat subuh berjemaah di bilik hotel. Sarapan pagi di hotel, layanan di berikan sungguh istimewa. Sempat lagi bergambar di situ dengan pekerja hotel yang ramah. Mereka kata mereka suka pada orang Malaysia kerana orang Malaysia selalu tersenyum...(Mmm...entah lah..itu pendapat dia lah).

Kami kemudiannya pergi ke stesyen keretapi untuk membeli tiket ke Kliein Scheidegg untuk bermain ski. Masa menunggu tidak lama kerana keretapi yang hendak naik ke atas tiba untuk setiap 10 ke 15 minit. Setelah sampai di situ, kami mencari kedai untuk menyewa peralatan ski. Ianya juga tidak berapa jauh dari situ dan di beri layanan yang baik. Jadi kami menyewa semua kelengkapan bermain untuk sekeluarga, jumlahnya lebih kurang 250 swiss franc. Jadi anak-anak yang tidak sabar-sabar ini di bawa ke kawasan "Biginner". Pada mulanya memang ramai yang jatuh tersembam dalam salji. Mujurlah ada pengunjung yang sukarela mengajar, anak-anakku itu, akhirnya mereka semakin mahir.

Setelah 5 jam bermain, akhirnya masing-masing keletihan. Jadi, kamipun pulang ke Hotel setelah memulangkan peralatan ski itu di kedainya (sepatutnya kami boleh bermain sampai malam) . Sampai saja di hotel masing-masing makan apa saja yang ada. Roti dan susu segar aku beli di kedai serbaguna yang ada di situ. Jadi sementara menunggu aku masak nasi, masing-masing menghabiskan dua buku roti dan tuna. Muka masing-masing menjadi merah macam udang kena bakar kerana sewaktu di atas gunung tadi cuaca memang panas terik, sedangkan masing-masing tidak memakai "Sun Block". Mata juga menjadi merah menyala kerana kepanasan.

Pada keesokan harinya, kami naik ke atas lagi untuk tidak mahu melepaskan peluang bergambar. Pemandangannya memang cantik. Gunung Eager dan puncak Jungfraujoch memang memukau. Sebelum ini, aku hanya biasa melihat pergunungan Alps dalam buku-buku geografi masa di sekolah dulu, tapi kali ini ianya terbentang di depan mata. Alhamdullah ... Puji-pujian hanya pada Allah. Destinasi seterusnya ialah di Geneva (orang sini sebut Genev)

No comments: