Thursday, August 21, 2008

Calais, France - Dover, England

Masa untuk pulang sudah tiba. Sepuluh hari perjalanan penuh bermakna bagi kami sekeluarga. Sebelum kami meninggalkan Gis Hotel, kami dapati "tom-tom" kami tidak berfungsi. Ini kerana sewaktu, di Disneyland air mineral yang diletak di dalam beg tertumpah lalu terkena "Nevigation System" itu. Mujur kami ada membuat 'backup'. Kami juga membawa PDA yang telah dimuat turun "Nevigation System" di dalamnya. Selain itu kami juga ada membawa peta. Alhamdulillah, ianya berfungsi dengan baik. Kami bertolak dari Paris lebih kurang pukul 12.00 tengahari.

Lebuhraya Prancis

Perjalanan ke Calais memakan masa 2 jam perjalanan dengan menggunakan lebuhraya. Lebuhraya di Prancis, dikenakan tol seperti di Malaysia. Apa yang membezakannya ialah lebuhraya Malaysia masih sesak, walaupun tol dibayar. Pemandangan di kiri kanan sungguh cantik. Rumah-rumah di sini banyak yang moden, berbanding dengan rumah-rumah di negara-negara lain. Sepanjang jalan kami dapat saksikan lukisan-lukisan graffiti memenuhi tembok-tembok jalan. Kami juga melepasi ladang-ladang anggur dan ladang-ldang jagung yang luas.Calais

Kami sampai di bandar Calais lebih kurang jam 2.00 tengahari. Calais merupakan bandar pelabuhan tua. Senibina bangunan di situ juga nampak tua dan mempunyai sejarah tersendiri. Kami sampai agak awal, sedangkan tiket ferri ditempah pada jam 4.30 petang. Kami sempat lagi membeli belah di pusat membeli belah di situ, sebelum menaiki ferri "P&O" yang akan membawa kami ke Dover.

Imegeresen

Kali ini kami dapat menikmati pemandangan Selat Inggeris dengan jelasnya. Kami duduk di kawasan terbuka sambil menikmati angin laut. Setelah empatpuluh minit berlayar, kami sampai di Dover. Semasa memasuki Imigresyen, kereta kami di tahan. semua diminta turun untuk diperiksa. Kami dapati sesiapa yang memegang paspot asing akan melalui pemeriksaan yang agak rapi. Kami diminta mengisi beberapa borang dan disoal dengan beberapa soalan sebelum dibenarkan lepas masuk.Coventry

Alhamdulillah segala-galanya berjalan lancar. Kami bertolak pulang ke Coventry dalam keadaan selamat. Kami sampai di rumah lebih kurang pukul 9.00 malam. Dengan ini tamatlah perjalanan kami ke Europah dengan jayanya.

Paris, France

Destinasi seterus ialah Paris. Setelah puas membeli belah di Geneva, kami memulakan perjalanan ke Paris. "Ah, untuk meninggalkan Switzerland memang rasa sedih juga. Bukan kerana apa, ini kerana keindahan dan kecantikan negara itu memang disenangi, lebih-lebih lagi dengan pemeliharaan alam semulajadi yang masih dikekalkan, ditambah pula dengan kesegaran dan kenyamanan udara di sana. Perjalanan ke Paris memakan masa 4 jam. Kami melalui beberapa batang jalan mengikut petunjuk dari "nevigation System" atau di sini di panggil "tom-tom". Semasa menyeberang sempadan tiada masalah yang timbul. Kami melalui beberapa buah bandar di situ seperti Bern, dan lain-lain sebelum kami singgah di pusat 'service' untuk solat dan makan. Kami menempah hotel di sub urban Paris kerana kosnya yang agak murah. Hotel yang kami tempah ialah Gis Hotel yang terletak di Rue du Canal.

Hotel ini kepunyaan saudagar cina Singapura. Bilik yang kami tempah sederhana besarnya tetapi tidaklah semewah hotel sebelumnya. Apa yang penting, hotel ini dekat dengan stesyen keretapi. Kami bercadang untuk menaiki keretapi saja untuk ke kotaraya Paris dan untuk ke Disneyland. Sampai di hotel ini lebih kurang pukul 4.30 petang. Kami menghabiskan masa di bilik dan cuba mengakses internet yang disediakan di hotel. Malam itu kami membeli kebab di restoren halal berhampiran yang dijual oleh warga Algeria.

Pagi berikutnya kami ke stesyen keretapi untuk membeli tiket ke Disneyland. Agak sukar juga berkomunikasi, kerana mereka enggan berbahasa Inggeris. Kami banyak bercakap menggunakan bahasa isyarat untuk mengetahui keretapi apa yang perlu diambil untuk ke Disneyland. Perjalanan ke Disneyland mengambil masa 20 minit.

Ketika kami sampai, pengunjung sudah memenuhi pintu masuk taman tema itu. Mujur juga kami telah membeli tiket awal melalui internet, jadi masa untuk masuk dapat disingkatkan. Anak-anak memang rasa seronok, kerana Disneyland memang tempat kegemaran kanak-kanak. Semasa aku masih kanak-kanak dulupun aku memang pernah mengimpikan untuk ke Disneyland tapi tentulah itu hanya mimpi sahaja. Tetapi tatkala aku dapat membawa anak-anak ke sini, aku rasa, bagai mimpi menjadi nyata. Peluang yang ada kami penuhi permintaan anak-anak untuk menaiki permainan yang mereka suka. Pengunjung yang ramai menyebabkan waktu menunggu, sesuatu permainan agak panjang.

Kami solat di kawasan rehat yang agak tersorok di 'Dunia Aladdin'. Kami berada di sana sehingga waktu malam. Persembahan sambutan ulangtahun ke 25 Disneyland Paris dapat kami saksikan sebelum menaiki semula keretapi untuk pulang ke Hotel. Keletihan tidak terkata kerana kawasan taman tema yang sangat luas, tetapi anak-anak rasa puas. Sampai di hotel terus tidur dengan lenanya bermimpikan Eiffle Tower...haha

Pagi keesokkan harinya kami menaiki keretapi menghala ke pusat bandar. Mula-mula kami pergi ke Place Vandome yang berhampiran dengan River Seine untuk menikmati pemandangan indah sungai yang terkenal ini. Kami juga melawat Norte Dame Cathdral tetapi tidak masuk di dalam gereja itu. Aku ke sini cuma untuk melihat senibina lama yang cantik serta ia ada kaitan dengan cerita dongeng 'The Hunchback of the Norte Dame". Seterusnya kami ke Louve dengan menaiki keretapi. Kawasan elite ini tidak ramah pengunjung. Kami tidak di benarkan duduk 'lepak' di situ kerana ada pengawal-pengawal berkot hitam akan meminta kita beredar dari situ.

Destinasi seterusnya ialah 'Eiffel Tower'. Kami sampai di situ juga menaiki keretapi metro. Ramai sungguh pengunjung yang ada di situ. Kawasan pelancongan ini sungguh kotor dan nampak lama. Kami hanya bergambar dari jauh sahaja kerana untuk turun ke bawah menghampiri menara itu agak jauh sedangkan anak-anak sudah keletihan. Setelah puas mengambil gambar dan membeli belah di sekitar kota Paris ini, kami pulang semula ke Hotel.
Anak-anak merasa seronok dan puas hati dengan lawatan hari ini.

Wednesday, August 20, 2008

Geneva

Untuk meninggalkan Wangen sesuatu yang amat berat. Anak-anak meminta kami menyambung dua tiga malam lagi di sini. Tapi kami terpaksa teruskan perjalanan kerana budget yang terhad dan kami perlu mengikut jadual yang telah dibuat. Sepanjang perjalanan ke Geneva, kami banyak melalui tasik-tasik hijau berlatarbelakangkan banjaran Alps. Memang cantik, tasik yang besar itu boleh memuatkan kapal untuk belayar di dalam nya. Kami juga melalui bandar Lauzen yang cantik sebelum sampai ke Geneva setelah 3 jam perjalanan. Hotel yang kami tempah ialah Swiss Hotel terletak betul-betul di tengah bandar Geneva.

Setelah meletak barang-barang di Hotel, kami terus berjalan di sekitar bandar itu. Ianya terletak di tepi laut. Geneva merupakan bandar kedua popular setelah Zurich di Switzerland ini. Ianya terletak di Rohne River dan juga Lake Geneva. Bandar ini terkenal kerana banyak persidangan antarabangsa di adakan di sini. Sepanjang perjalanan kami di bandar ini pelbagai kaum dan etenik yang kami jumpa. Kami sempat membeli belah di kedai-kedai di situ. Jam swiss merupakan tarikan. Jam jenama Rolex, Curtis dan lain-lain memang murah harganya. Kedai cenderamata memang menjadi tumpuan pengunjung.

Setelah selesai membeli belah, kami berkesempatan berjalan-jalan di sepanjang Tasik Geneva yang cantik. Di sini ada beberapa gambar yang kami ambil sepanjang pesisiran tasik tersebut.

Monday, August 18, 2008

Lauterbrunnan, Switzerland






Destinasi seterusnya memang di tunggu-tunggu. Aku memang sudah lama impikan untuk ke destinasi ini. "Bermain ski di Switzerland!!" ..memang selalu jadi impian. Tidak pernah terfikir akan terlaksana juga akhirnya. Perjalanan kami dari Zurich ke Wangen agak jauh juga, memakan masa lebih kurang 3 jam. Jalan yang kami terpaksa tempuh juga agak mencabar, kerana setelah melalui highway, kami merentas jalan sepanjang banjaran Alps yang terkenal. Banyak betul terowong yang kami terpaksa lalui. Sudah pasti di kiri kanan jalan pemandangan yang sungguh cantik yang tidak boleh hendak diungkap dengan kata-kata. Itulah kebesaran Allah yang dapat ku ungkapkan. Suhu memang sejuk ketika itu mencecah -2 darjah celcius. Keputihan salji mula kelihatan di sepanjang pergunungan itu. Manakala pokok-pokok pine, tumbuh subur disepanjang jalan. Rumah-rumah di situ juga agak unik kerana di bina dengan mengunakan kayu-kayu balak dan batu-batu gunung yang cantik.
Kami berhenti untuk mengisi petrol di satu kawasan perkampungan yang agak sunyi. Apa yang menarik, semua stesyen minyak menggunakan konsep layan diri sepenuhnya. Tiada orang yang menjaganya. Kita cuma perlu menggunakan kad kredit untuk membayar di pam-pam yang tersedia. Semakin tinggi pergunungan yang di daki suhunya semakin sejuk. Kami sempat berhenti untuk bergambar di kawasan yang di sediakan.

Setelah 3 jam perjalanan, akhirnya kami sampai di Lauterbrunen. Di situ ada stesyen keretapi yang akan membawa kami ke Wengen. Kami memunggah sebahagian barang keperluan untuk dua malam dari kereta sebelum menaiki keretapi tersebut. Keperluan yang tidak boleh di tinggalkan ialah periuk nasi...haha . Mana boleh tinggal, orang Melayu mesti makan nasi.

Perjalanan untuk ke Wangen memakan masa 15 minit. Cuaca sungguh cerah hari itu, jadi kami dapat melihat dengan jelas banjaran gunung Alps. Puncak gunung yang tertinggi di Eropah iaitu gunung Jungfraujoch yang digelar "Top Of Europe" juga kami dapat tatap dengan penuh kagum. Sesampai di Wangen kami tidak susah mencari Hotel yang kami tempah kerana ianya betul-betul dekat dengan stesyen keretapi. Eager Hotel menyambut kami dengan ramah. Kami di tempatkan di bilik yang besar dan betul-betul selesa kerana setiap orang dapat katil sendiri. Apa yang menarik ialah pemandangan yang sungguh cantik dari 'balcony' hotel. Salji memang tebal kerana salji baru lepas turun. Kami dapat melihat pengunjung-pengunjung bermain ski dari tingkap bilik. Memang berbaloi kami bayar 540 swiss franc untuk dua malam.


Pada petang itu, aku dan anak-anak berkesempatan bermain salji di sekitar kawasan Hotel. kami tidak perlu berjalan jauh untuk bermain salji kerana ketebalan salji di sekitar hotel, hampir mencecah 2 kaki. Kami beramai-ramai berjaya membuat orang salji (snowman) yang agak besar juga hanya dalam beberapa minit sahaja. Pada petang itu kami hanya jalan-jalan di sekitar Wangen dan esok kami akan naik ke atas untuk bermain ski.

Malam itu anak-anak tidur lena. Masing-masing tidur awal kerana tiak sabar-sabar untuk bermain ski keesokkan harinya. Bangun sekitar pukul 5.oo pagi untuk solat subuh berjemaah di bilik hotel. Sarapan pagi di hotel, layanan di berikan sungguh istimewa. Sempat lagi bergambar di situ dengan pekerja hotel yang ramah. Mereka kata mereka suka pada orang Malaysia kerana orang Malaysia selalu tersenyum...(Mmm...entah lah..itu pendapat dia lah).

Kami kemudiannya pergi ke stesyen keretapi untuk membeli tiket ke Kliein Scheidegg untuk bermain ski. Masa menunggu tidak lama kerana keretapi yang hendak naik ke atas tiba untuk setiap 10 ke 15 minit. Setelah sampai di situ, kami mencari kedai untuk menyewa peralatan ski. Ianya juga tidak berapa jauh dari situ dan di beri layanan yang baik. Jadi kami menyewa semua kelengkapan bermain untuk sekeluarga, jumlahnya lebih kurang 250 swiss franc. Jadi anak-anak yang tidak sabar-sabar ini di bawa ke kawasan "Biginner". Pada mulanya memang ramai yang jatuh tersembam dalam salji. Mujurlah ada pengunjung yang sukarela mengajar, anak-anakku itu, akhirnya mereka semakin mahir.

Setelah 5 jam bermain, akhirnya masing-masing keletihan. Jadi, kamipun pulang ke Hotel setelah memulangkan peralatan ski itu di kedainya (sepatutnya kami boleh bermain sampai malam) . Sampai saja di hotel masing-masing makan apa saja yang ada. Roti dan susu segar aku beli di kedai serbaguna yang ada di situ. Jadi sementara menunggu aku masak nasi, masing-masing menghabiskan dua buku roti dan tuna. Muka masing-masing menjadi merah macam udang kena bakar kerana sewaktu di atas gunung tadi cuaca memang panas terik, sedangkan masing-masing tidak memakai "Sun Block". Mata juga menjadi merah menyala kerana kepanasan.

Pada keesokan harinya, kami naik ke atas lagi untuk tidak mahu melepaskan peluang bergambar. Pemandangannya memang cantik. Gunung Eager dan puncak Jungfraujoch memang memukau. Sebelum ini, aku hanya biasa melihat pergunungan Alps dalam buku-buku geografi masa di sekolah dulu, tapi kali ini ianya terbentang di depan mata. Alhamdullah ... Puji-pujian hanya pada Allah. Destinasi seterusnya ialah di Geneva (orang sini sebut Genev)

Saturday, August 16, 2008

Zurich, Switzerland

Dari Luxembourg, kami bertolak lebih kurang pukul 12.30 tengahari. Perjalanan agak mencabar juga kerana jalan rayanya agak bersilang-silang dengan landasan 'Tram'. Keadaan ini agak janggal bagi suami. Ada ketikanya kereta kami hampir bertembung dengan 'Tram' tersebut, menyebabkan aku beberapa kali menekan "brek" kosong...haha. Rupa-rupanya 'tram' boleh berhenti bila-bila sahaja seperti bas. Ini agak melucukan juga kerana kami menyangka 'tram' seperti keretapi yang susah untuk berhenti. Satu lagi perkara yang jarang kami dapat di Malaysia ialah banyak sungguh terowong yang panjangnya hampir mencecah 2km, sehinggakan kami kehilangan isyarat satelite untuk "Satelite Navigation System" kami sewaktu berada di dalam terowong tersebut.

Perjalan ke Zurich memakan masa dua jam setengah. Apabila sampai di sempadan Switzerland, ada beberapa pengawal keselamatan yang bertugas hanya meminta kami menunjukkan paspot sebelum membenarkan kami memandu terus. Alhamdullillah tiada masalah di situ. Kami sampai di Allate Hotel lebih kurang pukul 3.00 petang. Pekerja Hotel di sini sungguh peramah, kami terpaks menambah sebuah lagi bilik tambahan kerana mendapati bilik yang kami tempah itu terlalu kecil untuk kami sekeluarga. Harga sebuah bilik ialah 50 Swiss Franc.

Setelah selesai makan dan solat kami memulakan lawatan di sekitar bandar Zurich. Bandar Zurich ini terletak di sepanjang sungai. Cuaca ketika itu kurang selesa kerana hujan renyai turun sejak kami dalam perjalanan lagi, selain dari itu suhunya juga mencecah 2 darjah celcius menyebabkan kami kesejukkan. Pemandangan di Zurich memang cantik. Mereka masih mengekalkan keaslian dan kesegaran alam sekitar. Pengangkutan awam yang utama ialah "Tram" yang menggunakan kuasa elektrik dan basikal. Setelah berjalan di sekitar bandar tersebut, kami kembali semula ke Hotel.

Friday, August 15, 2008

Luxembourg


Perjalanan ke Luxembourg dari Brussels memakan masa dua jam. Kami sampai di City Coin Avenue De La Liberte Hotel pukul 2.45 petang. Dalam perjalanan ke mari kami berhenti di pusat 'Service'nya untuk makan dan solat. Kami bersolat di padang saja, sudah tentu tiada tempat solat atau surau khusus seperti di Malaysia. Makanan memang sudah siap sedia dalam kereta. Sebelum bertolak dari Brussels, aku sudah siap masak nasi kerana, nasi merupakan makanan rugi yang mesti bagi kami sekeluarga. Lauk yang ada ialah serunding daging, sambal goreng dan sup segera yang hanya tambah air panas sahaja. Dalam hal ini, anak-anak tak cerewet. Kalau perut sudah lapar, apa di hidang semuanya habis...alhamdulillah.
Tempat letak kereta hotel ini agak jauh kerana hotel ini terletak betul-betul di tengah bandar lama Luxembourg. Kami menempah family room yang harganya 63 Euro untuk semalam. Setelah berehar sebentar di bilik, kami mula berjalan di sekitar bandar tersebut. Tempat yang sangat cantik ialah di Old City atau City Gate yang mana di bawahnya ada sebuah taman yang sangat cantik pemandangannya. Seni bina lama masih dikekalkan. Terdapat banyak tinggalan-tinggalan sejarah terutamanya ketika zaman Perang Dunia I dan II dahulu.

Selain itu kami juga melawat Place D'Armor yang sedang di baiki. Jadi kami tidak dapat melihat sepenuhnya tempat itu kerana sebahagian besarnya di tutup. Sebelum pulang ke bilik Hotel, kami sempat turun ke taman yang cantik itu sambil menghirup udara segar dan sesi pergambaran ala hindustan..haha

Pulang ke Hotel, masing-masing keletihan. Selepas makan, masing-masing terus tidur aku sempat menelefon keluarga di kampung ketika itu. alhamdulillah semuanya sihat-sihat belaka. Esoknya ketika hendak 'checkout' ada masalah timbul kerana kesilapan komunikasi. Pihak hotel mahu suami tunjukkan resit parking sebelum mereka menyerahkan paspot kami. mungkin mereka takut kami tidak membayar 'parking' agaknya. Sementara menunggu suami selesaikan urusan itu, aku sempat membeli cenderamata di kedai berhampiran hotel.

Destinasi seterusnya ialah Zurich, Switzerland...tunggu...

Thursday, March 27, 2008

Brussels Belgium

Catatan pengalaman ketika di Brussels pula. Dari Brugge kami bertolak ke Brussels. Ianya memakan masa selama dua jam perjalanan. Sampai di Hotel lebih kurang pukul 2.40 petang. Kami menginap di President Nord Hotel yang terletak betul-betul di tengah bandar tersebut. Pada awalnya kami menempah bilik untuk 3 orang, tapi kami ada 7 orang kesemuanya. Jadi untuk keselesaan, aku tempah satu lagi bilik kerana mereka tidak membenarkan satu bilik dihuni lebih dari 4 orang. Bilik hotelnya sangat selesa kerana dari tingkap bilik kami dapat melihat pemandangan bandar Brussels yang sibuk. Harga untuk sebuah bilik ialah 65 Euro jadi untuk dua bilik 120 Euro. Mujurlah dalam Euro bukan dalan Pound.

Selesai makan dan solat, kami memulakan lawatan ke tempat-tempat menarik yang terletak tidak jauh dari hotel tersebut. Tempat yang mula-mula kami pergi ialah di Grand Palace. Kalau ke Brussels tidak kemari, rasanya tidak lengkap, kerana bangunan lamanya sungguh menarik dan unik sekali. Sememangnya pada waktu itu, ramai pengunjung di situ. Terdapat ramai juga 'muka-muka' Melayu yang aku jumpa di situ tetapi masing-masing tidak menampakkan ciri-ciri 'mesra alam'...haha (itu hanya pengamatanku saja).

Seterusnya kami ke "The Maneneken Pis", pada mulanya aku sangka tentulah besar monumennya, tapi bila sampai di situ, ianya hanyalah patung kanak-kanak sedang kencing yang kecil. Kelakar sungguh pada masa itu. Yang peliknya ramai pula pengunjung yang membuang duit mereka ke dalam kolam 'air kencing' , patung tersebut.. "B***h" juga mereka ini kan...heheh

Tempat lain yang kami pergi ialah di 'The Royal Palace' dan 'The Cinquantenaire' yang letaknya tidak berapa jauh dari situ. Setelah penat berjalan, kami cuba mencari Restoren 'HALAL' maksudnya yang benar-benar halal. Ada banyak juga restoren di situ yang mempunyai label 'halal' tetapi masih menjual arak di dalamnya. Jadi aku bertanya dengan seorang pekedai cenderamata di situ yang sungguh peramah dengan mengucapkan "Apa khabar" kepada kami kerana beliau dapat mengagak bahawa kami dari Malaysia atau Indonesia. Dia menjelaskan bahawa restoren-restoren yang ada di sini tidak di pastikan kehalalannya kerana dia sendiri was-was. Dia mencadangkan sebuah restoren yang betul-betul halal dan memberikan alamatnya. Setelah bertanya dengan beberapa orang islam di situ, akhirnya kami berjumpa juga dengan restoren yang dimaksudkan. Restoren ini adalah kepunyaan warga Magribi. Jadi kami memesan kebab ayam dan dagingnya yang sungguh enak. Sampai sekarang teringat-ingat keenakkannya...heheh.

Aku menyuruh mereka berjalan pantas kerana bimbang terlepas waktu magrib. Kami pulang semula ke Hotel setelah hari gelap. Sepanjang perjalanan pulang ke hotel, banyak penghibur dan artis jalanan yang kami temui. Pelbagai aksi yang dapat kami lihat, tapi yang paling merisaukan aku ialah 'kupu-kupu' malam yang sungguh ramai menunggu pelanggan di tepi-tepi jalan. Mujurlah anak-anakku tidak tahu dan tidak faham tentang perkara itu. Aku menyuruh mereka berjalan pantas kerana bimbang terlepas waktu magrib.



Pada keesokan harinya, kami sempat berjalan lagi di sekitar hotel sebelum memulakan perjalanan. Kedai-kedai kasut menjadi tumpuan kerana Imam perlukan kasut baru.Kasut yang dipakai ketika itu sudah robek. Puas juga kami masuk satu kedai kesatu kedai yang lain, tapi semuanya dia tidak berkenan. Memang cerewet betul anakku yang ini. Jadi kami hanya "window shopping" sahaja dan berposing di beberapa tempat yang menarik.



Tuesday, December 11, 2007

Brugge, Belgium


Pemandangan di Brugge
Perjalanan ke Brugge

Perjalanan ke Brugge, agak lengang dan lancar. Mungkin disebabkan kami bertolak dari Calais agak awal pagi. Kmi mengikut lebuh raya yang agak janggal kerana sistem jalanrayanya yang agak berbeza dari UK. Kami mengambil masa lebih kurang satu jam setengah, sebelum sampai ke Brugge. Bandar Brugge, memang unik kerana masih mengekalkan seni bina lama dan kami singgah di 'The Canal and The Old Harbour' lebih kurang pukul 10.30 pagi. Ciri-ciri yang menarik di bandar itu ialah ia seakan-akan berada di Venice. Kami bergambar danmelawat sekitar bandar tersebut lebih kurang dua jam.

Wednesday, August 22, 2007

Menjelajah Eropah

Gambar di ambil semasa dalam ferri ke Calais
31 Mac, 2007
Maaf sebab sudah lama tidak mencatat di sini. Mungkin kerana kesibukan atau buat-buat sibuk. Saja-saja untuk mencatat cerita-cerita yang agak menarik pada permulaan musim bunga yang lalu. Kenangan yang tidak boleh lupa dan indah untuk di catat.

Rancangan untuk berjalan ke Eropah, bermula sejak hari raya haji yang lepas. Mula-mula Idah yang mengajak kami sekeluarga pergi bersama mereka. Tapi oleh kerana tarikh yang dia hendak pergi itu, tidak seperti yang di rancang , jadi aku sekeluarga mengambil keputusan untuk pergi sendiri.
Untuk persediaan awal, segala tips-tips perjalanan aku dapatkan dari Rizal kerana dia sudah ada pengalaman. Jadi segala plan perjalanan aku ambil darinya. Lain-lain perancangan aku buat dengan mencarinya di internet.

Bermulanya perjalanan

Kami sekeluarga bertolak dari Coventry pukul 9.30 pagi. Dengan menggunakan 'Tom-tom', perjalanan agak mudah. Sampai di Dover lebih kurang pukul 2.30. Aku 'check in' di Hotel Primiar tidak jauh dari terminal ferry. Pemandangan di Dover sangat cantik kerana ia terletak di tepi laut. Kami mengambil bilik untuk empat orang. Masalahnya aku sekeluarga ada tujuh orang. Jadi kami masuk separuh-separuh.

Bertolak Dari Dover ke Prancis

Kami bertolak dari Dover pukul 5.00 pagi. Tiket yang kami tempah sepatutnya pukul 6.30. Oleh kerana kami sampai di terminal ferry awal, kami dapat menaiki ferry tersebut awal. Suasana di luar masih gelap lagi, ketika itu kabus agak tebal. Ferry yang kami naik agak besar, siap dengan restoren, dan kedai di dalamnya. Kami duduk di family area. Oleh kerana masing-masing masih mengantuk, kami menyambung tidur walaupun tidak berapa selesa.

Sampai di Calais

Sampai di terminal di Calais, Prancis pukul 7.00 pagi. Sempat juga kami melihat sekitar bandar Calais kerana sudah mula cerah. Sistem jalanraya sudah bertukar, dari pemanduan sebelah kanan ke pemanduan sebelah kiri. Pada mulanya agak kekok juga untuk menyesuaikan diri memandu di jalanraya di sini. Kalau hendak memotong hendaklah ke sebelah kanan. Mujurlah pada sebelah pagi tak banyak kenderaan. Papan tanda semuanya dalam bahasa Prancis. Perkataan Prancis yang mula-mula aku baca ialah 'Sortie' yang bermaksun keluar atau dalam bahasa Inggerisnya 'exit'. Susah juga nak faham, pada mula-mulanya, tapi lama kelamaan dapat diagak juga perkataan yang di tulis di papan tanda tu.
Cukup dulu untuk catatan kali ni nanti akan di sambung lagi ye...tunggu..

Friday, March 09, 2007

Salji Turun di Coventry




Musim Sejuk


Tahun ini musim sejuk tidak lah berapa sejuk seperti tahun lepas. Angin agak kuat dan hujan boleh di katakan sepanjang hari. Suhu cuma 2 hingga ke 4 darjah celcius. Cuma di sebelah malam saja suhu mencecah 0 darjah. Jadi masa awal musim sejuk, salji tak turun-turun. Cuma kabus agak tebal dan frost pada waktu malam. Waktu begini memang tidak sesuai untuk keluar rumah. Masa banyak di habiskan di dalam rumah sahaja.
Jadi anak-anak banyak habis masa dengan menonton TV, bermain X Box 360 yang baru di beli sempena gaji pertama dulu dan mengadap internet. Untuk bermain di luar, amat tidak sesuai.


Salji Turun

Sewaktu Krismas hari yang lepas, salji tidak turun. Penduduk England agak kecewa juga sebab tidak dapat menyambut "White Cristmas". Pada bulan February lepas barulah penduduk di sini merasa Sajli yang turun agak lebat. Jadi pada hari itu, banyak juga sekolah yang tutup. Penerbangan tergendala dan perjalanan keretapi terganggu. Mereka menganggapnya sebagai "bad wather". Banyak juga kemalangan kecil akibat jalan yang licin.

Lain pula dengan anak-anakku. Mereka seronok bila salji turun. Masing-masing menghabiskan masa bermain salji di luar rumah. Membuat 'Snowman', bermain 'snowball' dan posing sakan di dalam keputihan salji itu. Kali in salji betul-betul turun lebat sebagai penutup kepada musim sejuk pada tahun ini.

Thursday, February 15, 2007

Aidil Adha

Sambutan

Sambutan aidil adha pada tahun ini tidak semeriah mana. Masa hari tu, suamiku demam teruk sejak seminggu yang lalu di tambah pula dengan kakinya kena gout. Jadi pada hari raya tersebut aku masak nasik beriyani dan nasi impit dengan kuah kacang dan lodeh. Tiada rendang kerana nak beli serai terpaksa ke bandar. Suami dan anak-anak tak ke masjid hari itu, mereka bersolat sunat aidiladha di rumah.
Aku cuma beraya di rumah Hasmilah. Tiada mood untuk beraya.

Cuaca

Cuaca pula semakin sejuk. Hujan seakan-akan tidak mahu berhenti, walaupun tidak berapa lehbat angin sangat kuat. Kadang-kadang rasa badan kita melayang di tiup angin. Matahari, jarang sekali bersinar. Suasana kelihatan mendung saja.

Sambutan di MRC

Seminggu lepas Aidil Adha, baru sambutan di buat di MRC. Kali ini tak berapa ramai yg hadir. Sebelum jamuan, di adakan ceramah agama dari Ustaz Alfino dari MSD (aku rasa macam kenal saja ustaz ni, dia pernah mengajar di Lembah Keramat 2 dulu). Aku di tugaskan memasak MEE Hoon goreng oleh Marjan. Jadi aku tak bawa kuih pada hari tu. Juadah pada hari tu ialah nasi baryani kambing dengan ayam goreng. (Dengar kata kambing yang di masak ada yang sponser)

Monday, December 18, 2006

Jamuan Krismas di Nursery

14 Disember, 2006

Tradisi

Jamuan Krismas merupakan satu tradisi di Nursery ini. Walaupun kebanyakkan pekerja di sini Islam, mereka turut mengadakan jamuan krismas ini. Semua pekerja di sini di minta mencabut satu nama untuk di berikan hadiah pada hari tersebut. Permainan ini dinamakan 'Secret Santa'. Jadi kita tidak akan tahu, siapa 'Santa' kita yang akan beri hadiah pada hari tersebut.

Tema
Tema untuk hari tersebut pula ialah Putih dan Merah. Jadi pada hari tersebut, semua staff di minta memakai pakaian berwarna merah dan putih. Aku memakai baju kurung merah kerana bangga dengan baju tersebut yang melambangkan Malaysia.

Juadah
Juadahnya tidak lah menarik sangat. Kenbanyakkannya adalah kek, coklat dan gula-gula. Kebanyakkan di bawa oleh ibu bapa dan staff-staff di situ.

Santa Claus
Sara menjadi Santa pada hari itu untuk menghiburkan budak-budak di situ dengan memberi hadiah. Itulah kemuncak bagi majlis itu.

Friday, November 03, 2006

Little Angle Day Nursery

Masuk kerja

Aku mula bekerja di nursery ni sejak bulan Ogos lagi. Kerjanya tidak lah susah sangat. Aku masuk kerja untuk hari Isnin sampai Khamis ialah pukul 9.30 pagi dan habis kerja pada pukul 3.30 petang. Manakala pada hari Jumaat pula aku masuk kerja pukul 9.00 dan habis kerja pukul 3.00 petang. Biasanya aku datang ke tempat kerja lebih awal sebab lepas suami aku hantar anak-anak ke sekolah, dia akan menghantar aku pula ke tempat kerja.

Photobucket - Video and Image Hosting


Tempat Kerja

Nursery ini letaknya di Red Lane, di bangunan Muslim Resorce Center (MRC). Kalau bawa kereta dalam 4 ke 5 minit saja jaraknya. Nursery ni tidak lah besar sangat. Ia cuma ada dua kelas saja iaitu kelas untuk budak-budak umur 0 hingga 3 tahun dan satu lagi 4 hingga ke 5 tahun. Kelas yang kanak-kanak kecil dinamakan kelas Twinkling Stars manakala kelas budak-budak besar di namakan kelas Shooting Stars. Tempat aku bekerja kebanyakkan di bahagian dapur yang terletak di bilik Twinkling Stars.

Rutin Harian

Rutin harianku, bila sampai saja di nursery tu, perkara yang aku mula-mula kena buat ialah hantar air minuman ke kelas Shooting Stars. Lepas tu ambil bilangan budak-budak yang hadir dan mula memotong buah-buahan utuk snaks time pada pukul 10.00. Untuk kanak-kanak yang besar, buah-buah harus di potong dan di masukkan ke dalam cawan-cawan plastik dan di letakkan di atas troli sebelum di bawa ke kelas mereka. Manakala budak-budak kecil hanya perlu gunakkan tray yang disediakan dan hanya di bawa menggunakan dulang untuk di hantar ke kelas.

Selepas tu, aku mula membasuh tuala dan kain-kain pengelap di bilik membasuh. Kemudian aku dikehendaki mengemas Staff Room, sebelum mengambil semula troli dan dulang di kelas setelah mereka selesai makan.

Photobucket - Video and Image Hosting

Setelah selesai mencuci cawan-cawan mereka, aku mula menghantar beg makanan ke pejabat MRC, sambil mengambil susu di sana. Setelah itu aku, menunggu sehingga budak-budak itu, keluar bermain di taman, sebelum aku mula mengemop kelas Shooting Stars dan Twinkling Stars secara bergilir mengikut hari. Selesai tugas tersebut, aku akan menyusun kerusi-kerusi makan di ruang makan mengikut jumlah budak yang hadir.

Dalam pukul 11.30 makanan dari nursery di Hillfield akan sampai dan aku di kehendaki mengambil suhu makanan sebelum menyusunnya di troli dan membawa makanan tersebut di ruang makan. Di situ aku dikehendaki menghidang makanan pada budak-budak tadika tersebut. Setelah selesai mereka makan, aku akan membersihkan ruangan tersebut sebelum membasuh kesemua pinggan makan mereka tadi.

Jam 1.00 tengahari aku akan berhenti rehat dan bersolat zohor di surau MRC, sebelum makan bekalan yang aku bawa di Staff Room. Di situ aku berpeluang berbual-bual dengan rakan-rakan yang bekerja di situ.

Pukul 1.30 aku akan menyambung tugas, untuk menyediakan snak mereka pada pukul 2.00. Snak akan di hantar ke kelas masing-masing dan selepas itu aku akan memasukkan kain yang sudah di basuh ke dalam dryer sebelum mengambil semula troli dan dulang setelah selesai mereka makan.

Setelah selesai mencuci pinggan dan cawan mereka, aku mula menyediakkan makanan untuk teatime mereka mengikut menu yang disediakan. Setelah siap semuanya aku akan menghantar troli ke ruang makan, mengemas apa yang patut di bahagian dapur sebelum aku menamatkan kerja pada hari tersebut. Begitulah rutin aku setiap hari

Photobucket - Video and Image Hosting

Wednesday, October 25, 2006

Aidilfitri Di Coventry

23 Oktober, 2006

Malam Raya

Malam raya di sini tidak sama seperti di Malaysia. Tiada suara takbir seperti di Malaysia. Jadi untuk mendapatkan mood raya, anak-anak memasang takbir raya melalui internet. Di masjid juga tiada takbir seperti di Malaysia. Masing-masing membaca takbir sendiri-sendiri sahaja.
Kebetulan sambutan raya dengan Dewali hampir serentak, jadi bunyi dentuman mercun dan bunga api, hampir sama seperti di Malaysia. Cuma tiada bunyi meriam buluh saja seperti di kampung.

Photobucket - Video and Image Hosting

Kuih Raya

Kuih raya terpaksa di buat sendiri. Tidak ada kuih "tunjuk-tunjuk" seperti di Malaysia. Jadi walaupun tiada bakat membuat kuih, aku cuba juga membuat kuih yang senang-senang demi anak-anak. Alhamdulillh jadi juga, walaupun rupanya tidak lah seindah mana. Antara kuih yang aku buat ialah kuih cornfleks, biskut kelapa, lengkong, dan kek coklet.

Photobucket - Video and Image Hosting

Baju Raya

Bagi aku baju raya tidaklah penting sangat. Baju anak-anak telah dikirim oleh emak dari Malaysia. Anak-anak memang seronok menggayakan baju raya kiriman atuk mereka dari kampung. Aku tumpang seronok saja...

Photobucket - Video and Image Hosting



Solat Aidilfitri

Pagi Raya, suami dan anak-anak lelaki bersolat raya di mesjid. Rupanya mereka sampai lewat dan mesjid dah penuh jadi mereka bersembahyang di MRC di mana warga Somalia mengadakan solat aidilfitri di situ. Khutbahpun dalam bahasa Somalia...kata suami walaupun tak faham, angguk aje lah.

Photobucket - Video and Image Hosting

Juadah Raya

Juadah pagi tu, seperti di Malaysia, aku masak nasi impit, kuah kacang, lodeh dan rendang. Jadi anak-anak puas hati sebab menu di kampung masih dapat di rasa tapi mungkin tak sama macam masakan atuk agaknya.

Photobucket - Video and Image Hosting



Aktiviti Hari Raya

Ramai juga warga Malaysia yang membuat rumah terbuka. Tradisi kunjung mengunjung masih lagi di amalkan di sini. Cuma tiada duit raya bagi anak-anak seperti di Malaysia. Nasib baik juga atuk mereka ada mengirim duit raya untuk cucu-cucunya di sini. Tapi bila di 'convert' pada pound dapat lah seorang tujuh pound...alhamdulillah

Ramadhan di England

23 September, 2006

Awal Puasa dan Sahur

Hari ini bermulalah umat islam di UK menunaikan kewajipan berpuasa di bulan Ramadhan. Untuk umat Islam di Malaysia mereka akan berpuasa esok. Hari permulaan berpuasa sangat menyeronokkan bagi anak-anak. Jadi aku kejutkan mereka untuk bersahur lebih kurang pukul 4.15 pagi. Kesemuanya mudah dibangunkan, mungkin masing-masing seronok untuk berpuasa agaknya. Hari-hari yang dilalui juga tidak berapa meletihkan kerana cuaca di sini agak sejuk jika dibandingkan dengan di Malaysia.

Dugaan Berpuasa di sini

Dugaan bagi anak-anak ialah sewaktu di sekolah. Ini kerana ramai kawan-kawan yang tidak berpuasa. Anak-anak Pakistan kebanyakkan tidak digalakkan berpuasa sehingga mereka mencapai umur lima belas tahun. Aku bersyukur sebab anak-anakku berjaya menempuh dugaan-dugaan tersebut kerana mereka telah di latih sejak umur 4 dan 5 tahun lagi. Walaupun berpuasa mereka masih lagi menjalankan aktiviti sukan di sekolah seperti bermain kriket, bola sepak dan berenang. Sewaktu pergi lawatan ke Stradford pun, Imam boleh tahan puasanya walaupun ahli rombongan mengadakan "picnic" di tepi kolam di sana. Sampaikan cikgu dia kagum dengan ketabahannya... alhamdulillah...

Berbuka Puasa

Juadah untuk berbuka puasa, terpaksa di buat sendiri, kerana tiada " Bazar Ramadhan" di sini seperti di Malaysia. Jadi hari-hari terpaksa memikirkan menu yang menarik untuk anak-anak.
Nasi ayam, nasi beryani, popia, kuih koci (dibungkus dengan aluminium foil), air kacang soya, ayam panggang dan lain-lain masakan pernah di cuba. alhamdulillah, anak-anak tak cerewet. apa yang aku masak, semuanya licin.

Photobucket - Video and Image Hosting

Solat Terawikh

Suami dan anak-anak lelaki bersolat terawikh di surau berdekatan. Ini kerana untuk solat di mesjid, terlalu ramai, sampai susah hendak cari tempat untuk pakir. Jemaah yang datang, boleh tahan juga ramainya. Mesjid di sini tiada ruang untuk wanita bersolat. Jadi aku dan anak-anak perempuan besolat di rumah saja.

Sunday, September 03, 2006

Bekerja

28 Ogos, 2006

Menghantar Surat khabar.

Aku bercadang untuk mencari kerja bila dah bosan sangat duduk di rumah, selain hendak mencari duit poket. Kerja yang mula-mula aku buat di sini ialah menghantar surat khabar. Kerja ni aku mula buat bila Asmilah minta gantikan dia sebab dia hendak balik Malaysia. Kerjanya tak susah. surat khabar akan dihantar ke rumah kita pada setiap pagi Khamis. Cuma yang susah sikit bila banyak iklan yang perlu dimasukkan sebelum surat khabar itu di hantar ke rumah-rumah. Satu pengalaman yang menyeronokan juga.

Pembantu Tadika (Domestic Nursery Assistant)

Aku mula dapat kerja ni bila Sufini minta aku gantikan adik dia yang bekerja di Little Angle Day Nursery sebagai pembantu dapur di Nursery. Aku suka kerja ni sebab masa kerja yang sesuai iaitu pukul 9.30 hingga pukul 3.30 petang.
Kerjanya juga tidak susah sangat kerana aku cuma perlu sediakan makanan untuk budak-budak tadika tu aje. Lepas tu kemas dapur dan kemas tempat makan mereka. Aku rasa aku memang suka kerja di sini sebab makanan di nursery ni semuanya halal sebab ia di bawah Muslim Resorce Center.

Memetik epal di Evesham

3 September, 2006

Memetik Epal

Kami warga Melayu di Coventry ni berkumpul di rumah Suhaimi lebih kurang pukul 10.00 pagi. Cuaca hari tu hujan tapi tak berapa lebat dan berharap bila sampai di Eversham hujan akan berhenti. Lebih kurang 6 keluarga semuanya yang pergi. Jadi pagi tu aku sempat masak nasik lemak, sambal udang dengan ayam goreng untuk bekalan.Sampai di Eversham lebih kurang pukul 10.45 pagi. Mujurlah masa sampai tu hujan dah berhenti.

Ladang epal tu agak besar. Dari jalan raya keranuman buah-buah epal di situ dapat dilihat. Kami mula memetik buah-buah tersebut setelah dibekalkan dengan beg-beg plastik. Buah epal di situ memang sedap rasanya. Begitu juga buah-buah plumnya....manis.
Setelah puas memetik, aku dapat lebih kurang dua kampit dan di timbang harganya baru 2 pound setengah. Kira murah, dibanding kalau dibeli di kedai biasa.

Photobucket - Video and Image Hosting

Berkelah

Selepas itu, kami semua berkelah di R&R berdekatan. Di situ kami makan beramai-ramai. Aku sekeluarga dengan nasi lemaknya, Asmilah pula dengan nasi ayam ala Englandnya, ayu dengan nasi gorengnya dan suhaimi nasi dan lauk pauk yang bermacam jenis. Seronok bila dapat makan beramai-ramai macam ni. Di situ ada pula rusa, kambing biri-biri dan arnab yang dibela di situ. Buak-budak seronok dapat memberi makan binatang tersebut. Angin pada hari tu kuat sangat dan cuaca agak sejuk dan kadang-kadang hujan renyai turun. Kami bertolah balik lebih kurang pukul 2.00 petang.

Sunday, August 27, 2006

Stradford Upon Avon

Melawat Shakespeare County

Kami bertolak dari rumah lebih kurang pukul 10.00 pagi. Perjalanan ke sana tidaklah jauh sangat hanya memakan masa lebih kurang 20 minit sahaja. sesampai di sana hujan mula turun. Kami sempat pergi ke taman di situ untuk melihat angsa dan itik yang pelbagai jenis di situ. selain dari itu kami juga sempat melihat bagaimana empangan di canal di situ berfungsi ketika bot keluar masuk.

Pemandangan di sini memang cantik. Ianya sangat bersih dan pelbagai jenis bunga di tanam di situ. Kami sempat bergambar di Sheakspare statu dan di kelilingi oleh patung-patung watak-watak dalam drama beliau seperti Hamelat, Prince Hal dan sebagainya.

Photobucket - Video and Image Hosting

Shakespear Birthplace

Kami juga berkesempatan melawat tempat kelahiran William Shekspeare. Di situ rumah beliau dilahirkan masih kukuh dan tidak diubah reka bentuk asalnya. Bangunan-bangunan di situ juga masih kekal dalam keadaan lama, walaupun di bangunan-bangunan itu premis-premis perniagaan menjalankan perniagaan berbentuk moden. Gabungan lama dan moden ini menjadikan bandar Stradford ini sangat cantik. Sebelum pulang kami sempat berkelah di taman itu sambil menikmati pemandangan yang cantik di situ.

Photobucket - Video and Image Hosting



Kena Saman

Pengalaman yang tidak di lupakan sewaktu melawat tempat ni apabila kereta kami disaman kerana tidak mempamirkan tiket pakir kereta. Kami sebenarnya tidak nampak papan tanda yang mengatakan tempat pakir itu berbayar. Nasib baik jugalah pihak Council memberi kelonggaran kepada mereka yg membayar awal kan diberi diskaun 50 peratus. Walaubagaimana pun 30 pound terbang untuk saman hari itu...hehehe...