28 November, 2005
Masalah
Rumah di No 5A, Wheelwright Lane, Holbrook, ni mula bermasalah. Bayangkan lah masa malam pertama kami tidur di sini heater tidak berfungsi sepenuhnya. Jadi malam tu kami terpaksa tidur dengan baju sejuk dan stokin beberapa lapis dengan duvet sekali. Aku rasa suhu pada malam tu mencecah -4 darjah celcius. Memang sejuk gila. Nasib baik bilik Mizi, Imam dan Hambaly ok. Jadi malam tu mereka tidur nyenyak.
Pagi-pagi tu pulak pintu bilik tak boleh nak buka. Tuan rumah tu bagi kunci salah. Nasib baik ada batang besi dalam bilik, jadi suami aku gunakan batang besi tu untuk umpil pintu bilik tersebut.
Satu lagi masalah rumah tu ialah boiler air tak panas. Dia cuma panas untuk beberapa saat aje. Jadi pagi tu kami nak mandi terpaksa masak air dalam periuk. Mujurlah masa baru-baru sampai hari tu, Dr Nora yang baru habis dan balik Malaysia bagi barang-barang keperluan dapur seperti pinggan mangkuk dan baju-baju sejuk pada kami. Besar betul pahala dia kerana barang-barang itu, betul-betul kami perlukan. Jadi pagi tu kami terpaksa telefon tuan rumah supaya dia selesaikan masalah tu.
29 November,2005
Urusan-urusan Penting
Esoknya banyak perkara yang terpaksa suami uruskan. Misalnya nak kena daftar Councill, nak kena uruskan persekolahan anak-anak, daftar NHS dan macam-macam lagi. Depan rumah kami ni ada Post Office, Bank dan Pound Shop. Jadi segala urusan agak mudah sikit cuma kena siapkan duit aje . Suami pulak pada 1 Disember kena daftar Universiti. Telefon rumah kena mohon, akaun bank kena buka semua perkara di sini kena buat appointment dulu. Jadi banyak lah perkara baru yang kami terpaksa belajar di sini.
Kawan-kawan banyak membantu
Kawan-kawan di sini memang banyak membantu. Misalnya masa malam aku sampai tu, Suhaimi dan isteri hantar nasi dan lauk untuk kami. Manakala Rizal dan Fendi Junior (ada dua Fendi di sini satu Fendi Junior dan satu Fendi Senior), tak putus-putus membantu. Jamal misalnya banyak beri barang keperluan seperti periuk, pinggan mangkuk dan baju-baju sejuk. Jadi untuk permulaan hidup di sini, kami tak perlulah membeli baju sejuk sebab apa yang diberi sudah mencukupi. Fendi Senior pulak bawa kami jalan-jalan pada hari minggu. Tempat yang mula-mula dia bawa ialah 'car boot' di Saintsburry. Jadi dapat lah kami beli barang-barang keperluan dengan harga murah.
30 November, 3005
Salji Turun
Hari kedua kami sampai, salji mula turun. Jadi anak-anak aku yang 'jakun-jakun' ni boleh belari keluar rumah dengan tak pakai baju sejuk main salji. Aku risau takut badan mereka terkejut sebab pertukaran cuaca yang mendadak ni. Jadi untuk langkah keselamatan, aku paksa mereka telan vitamin c dengan makan buah orange banyak-banyak. Alhamdulillah tak ada masalah, cuma kulit jadi kering dan bibir mula pecah-pecah. Aku suruh dia sapu losyen kat badan dan pakai lipsbalm kat bibir.
Siang Pendek
Perkara yang pelik di sini masa kami baru sampai ialah waktu siangnya pendek. Bayangkan lah pukul 3.00 petang dah magrib. Jadi kami terpaksa selalu tengok jam sebab takut terlepas waktu solat. Waktu zohor dan asar terlalu singkat. kalau leka, boleh terlepas waktu. Manakala cuaca pulak asyik mendung aje. Susah nak lihat matahari, jadi baju terpaksa dikeringkan di heater (sekarang aku dah ada tumbell dryer, senang hidup).
Makanan
Pasal makanan pulak, kami bersyukur, sebab rumah kami ni dekat dengan shopping mall (somerfield) Jadi barang-barang makanan kami banyak beli di situ. Cuma ayam halal kami kirim dengan Fendi Junior, sebab rumah dia dekat kawasan Pakistan jadi banyaklah kedai daging halal.
Menu kami masa-masa baru sampai dulu banyak ala England, sebab banyak barang ala Malaysia tak ada dijual di Somerfield, misalnya santan, asam jawa dan belacan. Jadi kalau aku masak lemak aku gantikan santan dengan susu, manakala asam jawa aku gantikan dengan lemon juice. alhamdulillah anak-anak tak banyak cerita. Apa yang aku masak semuanya licin dan mereka siap ucap terima kasih lagi kat emaknya ni. Tu yang penat lelah masak pun hilang.
Mula Rasa Bosan
Masa baru-baru sampai hari tu, budak-budak seronok betul. Macam pergi melancong. Banyak tempat-tempat baru yang mereka tak pernah tengok. Tapi bila dah masuk seminggu mereka mula rasa bosan. Tak ada tv dan tak ada internet. Mujurlah ada telefon bimbit. Jadi mereka leka bermain game di telefon. Nak main kat luar sejuk sangat jadi rumah ni lah jadi taman permainan untuk mereka. Tak apalah janji mereka bahagia...
Wednesday, June 21, 2006
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment